IHYA RAMADAN BERSAMA ORANG KURANG UPAYA PENGLIHATAN (OKU) TAHUN 2025
15 MAC 2025M / 14 RAMADAN 1446H (SABTU) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah dengan kerjasama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menganjurkan Majlis Ihya’ Ramadan bersama komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan di Kompleks MAB Brickfields Kuala Lumpur. Program ini telah disertai oleh 150 orang peserta daripada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Majlis dimulakan dengan sesi khatam al-Quran oleh para peserta daripada Kelas Bimbingan al-Quran Braille. Seterusnya, pengisian rohani melalui ceramah Ramadan yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Dai Annas yang bertajuk “Puasa yang Sia-Sia”.
Selain itu, kaunter zakat fitrah juga dibuka di ruang legar dewan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) bagi memudahkan para hadirin yang hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.
Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Imlah binti Abd Aziz, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI.
Seterusnya, majlis disempurnakan lagi dengan sesi penyerahan beg sumbangan barangan keperluan asas kepada para peserta yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Tuan Haji Kamaldin bin Damin.
Program telah diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah bersama para peserta. Semoga program ini dapat menjadi pemangkin kepada komuniti OKU untuk lebih bersemangat dalam menjalani ibadah dan menambahkan rasa kesyukuran dalam bulan yang mulia ini.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan