JAWI BERKOLABERASI DENGAN PELBAGAI PIHAK DALAM MEMPERKASA REMAJA MADANI
16 FEBRUARI 2025M | 17 SYAABAN 1446H (AHAD) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah dengan kerjasama Bahagian Keluarga, Sosial & Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) telah menganjurkan "Program Kefahaman Remaja Islam: Memperkasa Generasi Madani." Program selama tiga hari bermula 14 Februari sehingga 16 Februari 2025 (Jumaat-Ahad) ini telah disertai oleh 50 orang remaja lelaki daripada Bengkel Interaktif dan Perintah Khidmat Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dunia remaja penuh dengan dugaan dalam membentuk jati diri dan mereka kadang kala terperangkap dengan krisis identiti. Situasi ini kian membimbangkan di era digital dengan penularan pelbagai budaya dan permasalahan sosial. Program seumpama ini diadakan sebagai salah satu inisiatif membangun identiti para khalifah muda yang merupakan aset utama agama dan negara melalui pendekatan yang lebih proaktif dan santai untuk menerapkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan. Melalui program ini, para peserta diberi pendedahan dan pemantapan merangkumi 3 aspek utama iaitu akidah, ibadah dan akhlak. YBrs. Ustaz Mohd Syukri bin Khamis melalui slot "Ma'rifatun Nafs" telah berkongsi berkaitan siapakah kita di atas dunia ini dan apakah matlamat yang seharusnya ada dalam kehidupan seseorang. Para peserta turut diberikan penekanan khusus bab aqidah yang merupakan tunjang utama seorang muslim. Setiap hamba perlu memasakkan keimanan dan kebergantungan mereka kepada Allah SWT agar akhirnya, walau apa juga ujian yang menimpa, mereka mampu untuk terus menghadapi liku-liku kehidupan. Manakala slot pengisian ibadah pula merangkumi kewajiban asas dalam kehidupan seperti bersuci dan solat serta slot akhlak telah dikendalikan sepenuhnya YBrs. Ustaz Muhammad Ai'man Syafiq bin Mohamad bersama barisan fasilitator berpengalaman daripada Caliph Soul Consultant. Slot ibadah dan akhlak telah dilaksanakan melalui perkongsian secara teori dan praktikal dengan pelaksanaan aktiviti berkumpulan. Turut melengkapi perjalanan program ialah slot motivasi membangun kendiri bertajuk "Bukan Payah Nak Hidup" telah dikendalikan dengan cukup menarik oleh YBrs. Puan Nur Iffah binti Aziz, Pegawai Psikologi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan