PROGRAM KONVENSYEN MAHABBAH ORANG KURANG UPAYA (OKU) PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 2024
10 November 2024M | 8 Jamadillawal 1446H (AHAD) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Unit Orang Kurang Upaya (OKU), Bahagian Pengurusan Dakwah dengan kerjasama Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar telah menganjurkan Program Konvensyen Mahabbah Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2024. Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq dipilih sebagai lokasi program kerana kemudahan dan fasilitinya yang mesra OKU dan memudahkan pergerakan para peserta OKU sepanjang program berlangsung. Konvensyen ini melibatkan kerjasama dari pelbagai persatuan dan agensi yang membabitkan penyertaan seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada OKU Penglihatan, OKU Pendengaran, OKU Cerebral Palsy, OKU Pembelajaran dan OKU Fizikal. Konvensyen kali ini memperlihatkan kerjasama pelbagai pihak antaranya Persatuan Wanita Islam Bangsar (PERWIBA), Pejabat Kesihatan Lembah Pantai Kuala Lumpur, Sekretariat OKU Malaysia (SKOR), Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PRISMA), Persatuan OKU Putrajaya (PROCJAYA), Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia, Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia, dan Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan OKU (PLPP), Sukarelawan Dakwah JAWI(SUDI) dan orang awam. Buat julung kalinya program ini menghimpunkan pelbagai pertubuhan OKU sebagai ijtima‘ tahunan warga OKU Muslim. Ia sebagai medium yang menghimpunkan dan berkongsi pengalaman serta perbincangan berkaitan hal ehwal OKU Muslim secara lebih bersepadu. Selari dengan salah satu teras strategik Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim tahun 2024-2028 iaitu memperkukuhkan dakwah OKU bagi kesejahteraan ummah. Selain itu, program ini juga dibantu oleh seramai 16 orang selaku fasilitator daripada SUDI yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), University of Cyberjaya(UoC) , dan orang awam bagi membantu pergerakan para peserta OKU sepanjang program berlangsung. JAWI juga turut menyediakan seramai 5 orang jurubahasa isyarat Malaysia (JBIM) daripada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) agar setiap pengisian program dapat disampaikan secara menyeluruh kepada semua peserta OKU. Pengisian bagi program ini dimulakan dengan ceramah perdana oleh Ustaz Khubaib Muhamad Asmadi, pengasas Seerah Center dengan tajuk ceramahnya, ‘Tenang, Kita Ada Allah”. Kemudian, program ini diteruskan lagi dengan slot ‘Bual Bicara: OKU Melangkah ke Hadapan’ yang dikendalikan oleh En Hafiz Mohd hafiz bin Halim, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Psikologi & Kaunseling Jabatan Kebajikan Malaysia(JKM) selaku moderator dengan dibarisi ahli panel terdiri daripada Encik Mohammad Faizal Che Yusuf, Yang Dipertua Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Encik Mohamad Sazali Sha’ari, Pengarah Eksekutif dan Penasihat Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), dan Encik Mohd Sukur Ibrahim, usahawan OKU dan penceramah bebas. Program ini diteruskan dengan majlis penutup dan perasmian yang dirasmikan oleh Dato’ M.Ali, Timbalan Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang diiringi oleh Puan Suraiti binti Alias, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI. Semoga para peserta OKU mendapat manfaat daripada program ini dan semoga segala usaha yang dilakukan oleh semua pihak dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga OKU ini mendapat limpahan keberkatan dan redha daripada Allah SWT. |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan