PROGRAM PENERAPAN NILAI ISLAM SEMPENA SAMBUTAN HARI INTEGRITI TAHUN 2024
11 November 2024M | 9 Jamadilawal 1446H (ISNIN) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah dengan kerjasama Unit Integriti telah menganjurkan Program Penerapan Nilai Islam Sempena Sambutan Hari Integriti Tahun2024. Program ini bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan khusus kepada pegawai dan kakitangan JAWI. Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai murni agama Islam dalam perkhidmatan bagi melahirkan anggota perkhidmatan awam yang mempunyai kekuatan spiritual, intelektual dan emosi yang seimbang serta mempunyai nilai integriti dalam perkhidmatan awam. Melalui dua slot ceramah yang mengupas topik yang menyentuh perihal integriti penjawat awam dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di samping mencari keberkatan dalam pekerjaan yang telah disampaikan oleh YBrs. Imam Muda Muhammad Asyraf bin Mohd Ridzuan, Pendakwah Bebas. Manakala slot kedua telah disampaikan oleh YBrs. Tn. Hj. Hushim Bin Hj. Salleh, Pengarah Urusan Hushim Motivational & Counseling Concultancy. Beliau telah mengupas tajuk, Nilai Madani : Memperkukuh Integriti Dalam Komunikasi Berasaskan Islam. Beliau menyentuh bagaimana perihal komunikasi dan tingkah laku kehidupan dalam rumah tangga bersama ahli keluarga dan juga di tempat kerja bersama rakan setugas agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah Taala serta memberi motivasi dan panduan hidup selaku hamba Allah. Seramai 150 orang peserta daripada kalangan pegawai dan kakitangan JAWI telah mengikuti dengan jayanya program ini. Semoga dengan pengisian seumpama ini akan memantapkan kefahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai Islam dan nilai integriti dalam merealisasikan budaya al-falah di kalangan penjawat awam. |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan