MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN
17 OKTOBER 2024M | 14 RABIULAKHIR 1446H (KHAMIS) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan strategik menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/ 2024M pada 15 hingga 17 Oktober 2024 (Selasa – Khamis) di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis Hafazan Al-Quran berlangsung pada jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang setiap hari manakala Majlis Tilawah Al-Quran pula berlangsung pada jam 9.00 hingga 11.00 malam. Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan kali ini telah mengangkat tema "Al-Quran Dihayati Negara Diberkati". Ia selari dengan tema di peringkat kebangsaan, “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”. Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah pada malam ini disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI. Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan (MTHQWP) adalah program tahunan yang dianjurkan bertujuan untuk memartabatkan kitab suci al-Quran yang menjadi panduan dan rujukan utama seorang muslim selain memilih calon untuk mewakili Wilayah Persekutuan ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK). Penyertaan bagi MTHQWP kali ini adalah terdiri daripada peserta yang terpilih di peringkat saringan Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui Akademi Al-Quran Wilayah Persekutuan (AQWA). AQWA yang dilancarkan pada 27 Mac 2024 merupakan satu inisiatif yang diilhamkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertujuan untuk melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang berkualiti pada masa hadapan serta mencungkil bakat baharu atau generasi pelapis dalam Majlis Tilawah Al-Quran khususnya di Wilayah Persekutuan. Untuk makluman, Majlis Tilawah Al-Quran pada kali ini disertai empat belas (14) orang peserta iaitu sepuluh (10) peserta qari dan empat (4) peserta qariah mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan seorang Johan Qari Menunggu. Bagi Majlis Hafazan Al-Quran, 33 orang peserta menyertai majlis pada kali ini dalam tiga kategori berasingan iaitu Kategori 1 (1-10 juzuk): 12 orang peserta (6 orang lelaki dan 6 orang perempuan), Kategori 2 (1-20 juzuk): 11 orang peserta (6 orang lelaki dan 5 orang perempuan) dan Kategori 3 (1-30 juzuk): 10 orang peserta (6 orang lelaki dan 4 orang perempuan). Antara yang menarik pada MTHQWP kali ini adalah slot Ibrah Al-Quran berkonsepkan multimedia interaktif yang ditayangkan di skrin utama sebaik sahaja para peserta selesai menyempurnakan bacaan. Barisan Jemaah Hakim telah membuat keputusan bagi peserta qari, qariah, hafiz, dan hafizah terbaik dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/2024M seperti berikut: Johan Qari Tilawah Al-Quran dimenangi oleh Muhammad ‘Aidil bin Senin, Naib Johan Dr. Khalid bin Isa dan tempat ketiga Wan Fakhrul Razi bin Wan Mohamad. Manakala Johan Qariah dimenangi oleh Nurussyahamah Taqiah binti Nurunnajmi, Naib Johan Lailasari binti Sabran, dan tempat ketiga Rosnani binti Mohmad. Bagi Hafazan Al-Quran, Kategori 1 -30 juzuk, Johan - Muhammad Izzul Afnan bin Sazali (Lelaki), dan Zuha binti Zahran (Perempuan), Kategori 1-20 juzuk, Johan - Asyraf Khan bin Razen Khan (Lelaki), dan Ainin Saheela binti Anuar (Perempuan), Kategori 1-10 juzuk, Johan - Fatih Al-Qayyum bin Fadhil Noor (Lelaki), dan Nurizazie binti Mohamad (Perempuan). Salah seorang pemenang tempat kedua Majlis Hafazan kategori 1-30 juzuk iaitu Muhd Al Fateh bin Mohd Hasnil, 24 tahun pernah mewakili Malaysia dalam acara Musabaqah Hafazan Al-Quran Antarabangsa di Tanzania (2019), Mesir (2021) dan Croatia (2024). Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan kriteria penghakiman iaitu tajwid, tarannum, fasohah dan suara bagi kategori tilawah manakala hafazan dan lancar, tajwid, fasohah, tarannum, suara dan persembahan dan tafsir bagi kategori hafazan. Johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H masing-masing menerima wang tunai RM7,000, Hadiah Menunaikan Umrah bernilai RM8,000, Piala Pusingan, Piala Iringan, hadiah iringan dan sijil; tempat kedua menerima wang tunai RM6,000, plak, hadiah iringan dan sijil; tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000, plak, hadiah iringan dan sijil; dan saguhati wang tunai RM1,000 serta sijil. Manakala Johan Majlis Hafazan al-Quran kategori 1-30 juzuk menerima wang tunai RM7,000, Hadian Menunaikan Umrah bernilai RM8,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil; Bagi kategori 1-20 juzuk, Johan akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil; Bagi kategori 1-10 juzuk pula Johan akan menerima wang tunai RM4,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan