WANITA, MARUAHMU TIDAK MURAH
21 Ogos 2024M | 16 Safar 1446H (RABU) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah telah berkolaberasi dengan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai bagi menjayakan, Program Seminar Wanita Peringkat Wilayah Persekutuan hari ini bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara Kuala Lumpur. Program telah dimulakan dengan Bicara Santai bertajuk "Wanita, Maruahmu Tidak Murah" yang telah dikendalikan oleh En. Mukhlis bin Rahim sebagai moderator bersama penampilan barisan panel yang tidak asing lagi masa kini iaitu Prof. Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail dan inflencer Dr. Nurul Saidatul Husna binti Mohamed Ab Karim ( Dr Sai). Sesi bicara santai ini telah menyentuh tentang peri pentingnya seseorang wanita untuk menjaga peribadi, nilai maruah diri dan sahsiah dari sudut pandang Islam. Harus kita akui bahawa dalam dunia yang serba pantas hari ini, kemudahan komunikasi, jaringan pergaulan yang luas dan norma-norma baharu mula mengaburkan nilai-nilai diri seorang wanita. Para wanita perlu menyedari bahawa setiap usaha dalam menjaga maruah diri, pergaulan dan berprinsip bukanlah satu bentuk pengekangan, tetapi adalah satu bentuk perlindungan terhadap kehormatan diri yang disebut sebagai maqasid. Ketahuilah bahawa maruah diri tidak boleh ditawar walau dengan segunung emas permata, nilainya takkan mampu dibayar walau berjuta-juta nilainya. Sesi seterusnya diteruskan dengan slot perkongsian daripada seorang Peguam Syarie, Saudari Nurul Qisti Al Zahra binti Kamarudin. Melalui perkongsiannya bertajuk "Normalkan Bebas, Hingga Lupa Batas", para peserta diberi pendedahan berkaitan realiti isu-isu terkini yang berlaku melibatkan wanita dan institusi kekeluargaan yang hanya bermula daripada pergaulan bebas yang sekaligus menunjukkan betapa wanita hari ini secara tidak sedar dengan mudahnya menjadi mangsa kepada norma-norma yang merendahkan martabat mereka. Seramai 300 orang peserta telah hadir meraih ilmu sempena Seminar Wanita Peringkat Wilayah Persekutuan bagi Tahun 2024. Semoga Seminar ini memberi input dan manfaat kepada para peserta. |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan