30 April 2024M | 21 Syawal 1445H (SELASA) - JAWI menerusi Cawangan Kebajikan Saudara Baru (CKSB) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Bagi Pelajar Mualaf Tahun 1445H / 2024M bertempat di Kompleks Darul Hidayah (KDH), Sentul, Kuala Lumpur. Kursus ini telah dihadiri dalam kalangan pelajar termasuk penghuni KDH dengan penglibatan seramai 80 orang peserta.
Objektif kursus adalah bertujuan untuk menyuntik rasa tanggungjawab dan kepekaan para mualaf bagi mempelajari dan mempraktikkan ilmu berkaitan pengurusan jenazah. Secara langsung, kursus ini memberikan pengalaman berguna kepada para peserta untuk menguruskan jenazah sebenar melalui kerjasama dengan Unit Kebajikan Islam (UKI), Cawangan Penyelarasan dan Kebajikan Islam (CPKI), Bahagian Pengurusan Dakwah. Program dimulakan dengan ceramah pengurusan jenazah yang disampaikan oleh Us. Muhammad Hatta bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Kanan UKI dan seterusnya sesi praktikal yang dibimbing oleh Fasilitator UKI dengan pecahan sebanyak empat kumpulan iaitu 2 kumpulan lelaki dan 2 kumpulan wanita.
Kursus ini diteruskan hingga ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Karak - Kuala Lumpur untuk pengurusan jenazah yang tidak berwaris dan diselia oleh Fasilitator UKI sehinggalah selesai urusan pengkebumian.
Semoga setiap tahun yang mendatang dapat diteruskan lagi program atau aktiviti yang memberikan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman baharu kepada mualaf seperti pengurusan jenazah, di samping menghilangkan rasa takut di kalangan mualaf akibat kurangnya ilmu pengetahuan berkaitan.
|
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan