5 FEBRUARI 2024M | 24 REJAB 1445H (ISNIN) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menganjurkan Majlis Amanat 2024 YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pelancaran Sambutan Jubli Emas JAWI pada hari ini di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis dihadiri sekitar 1,000 orang peserta yang terdiri daripada warga 14 buah agensi di bawah YB Menteri bersama-sama ketua-ketua agensi masing-masing serta tetamu undangan termasuk alumni JAWI. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar menyampaikan Amanat Tahun 2024 kepada warga agensi agama sekaligus menyempurnakan beberapa acara pelancaran pada program tersebut. Turut hadir YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI.
Acara dimulakan seawal jam 9.30 pagi dengan Sesi Perkongsian Ilmu yang disampaikan oleh Profesor Dr. Jasser Auda, Profesor Pelawat di International Institute of Islamic Thought & Civilisation (ISTAC-IIUM) bertajuk “Imam Yusuf Al Qaradawi - Pemikiran dan Pengaruhnya Terhadap Gerakan Dakwah, Politik dan Masyarakat.” Majlis kemudiannya diteruskan dengan Pelancaran Buku “Imam Yusuf Al Qaradawi - Pemikiran Dan Pengaruhnya Terhadap Gerakan Dakwah, Politik Dan Masyarakat.”
YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut melancarkan Sambutan Jubli Emas JAWI serta meluangkan masa mengadakan lawatan ke sudut galeri yang mempamerkan soroton sejarah 50 tahun penubuhan JAWI di bawah tema “Lima Dekad Membangun Ummah”. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mencapai usia genap 50 tahun pada 1 Februari 2024 semenjak ditubuhkan pada 1 Februari 1974. Semenjak awal penubuhannya, JAWI terus berkembang seiring kemaslahatan umat Islam dengan pewujudan 2 cawangan baharu iaitu Cawangan Labuan pada 16 April 1984 dan Cawangan Putrajaya pada 1 Ogos 2001. Selaras dengan perubahan dan hala tuju kepemimpinan negara, JAWI diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2018 dan memperluaskan peranannya sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan melalui 7 teras strategik meliputi dakwah, pendidikan, tadbir urus masjid dan surau, penguatkuasaan undang-undang Syariah, kekeluargaan Islam, penyelidikan, serta pengurusan organisasi dan pembangunan fizikal.
Lebih 28 buah program istimewa telah dirancang untuk manfaat orang ramai sepanjang tahun 2024 sempena sambutan Jubli Emas JAWI iaitu Wilayah Persekutuan Berselawat, Forum Perdana Ehwal Islam, Pelancaran Surau Bergerak, Majlis Akad Nikah Rahmah, Seminar Keluarga Bahagia, Aktiviti Menyantuni & Penerangan Berunsur Nasihat (AMPUN), Iftar MADANI Jamaie, Qiamulail Perdana (Nuzul Al-Quran), Aidilfitri Malaysia
Madani@Dataran Merdeka, Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun JAWI, Perasmian ‘Ilaj Home, Pelancaran Persempadanan Kariah Masjid, Khutbah Jumaat Khas, Kem Ibadah Perdana OKU Penglihatan & Pendengaran, Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Khas, Hari Bertemu Pelanggan JAWI, Seminar Keluarga Sakinah MADANI, Jelajah Institut Pendidikan Islam JAWI Labuan, Malam Kesenian Islam, Liga Festival Nasyid Institut Pendidikan Islam JAWI, Simposium Kursus Pengurusan Jenazah Perdana, Konvensyen Akidah Wilayah Persekutuan, Pelancaran Ikon Mualaf, Perasmian Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Labuan, Penerbitan Buku 50 Tahun JAWI, Pelancaran Penarafan Tandas Masjid 5 Bintang, Pelancaran Akademi Al-Quran dan JAWI Fun Run.
Sempena sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024, JAWI memilih slogan “Membangun Khaira Ummah” sebagai tema sambutan yang bermaksud matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah. “Khaira Ummah” hanya dapat dilahirkan apabila gerak kerja dakwah iaitu amar makruf dan nahi mungkar diimplementasikan dalam masyarakat serta Islam menjadi “way of life”. Dalam konteks tersebut, azam dan tekad JAWI adalah untuk memperluas fungsi dan peranan selaras dengan kemaslahatan dan dinamika masyarakat iaitu kemampuan beradaptasi dengan perubahan. Perkara utama yang akan diberikan perhatian ialah proses pengukuhan syariah dan akhlak serta pemantapan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Disediakan oleh:
Bahagian Khidmat Pengurusan
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan