LAWATAN KERJA TEAM ‘ILAJ HOME KE YAYASAN KEBAJIKAN NEGARA DAN PERSATUAN INSAF MURNI MALAYSIA
18 DISEMBER 2023M | 5 JAMADILAKHIR 1445H (ISNIN) – ‘Ilaj Home yang diketuai oleh Puan Suraiti binti Alias, Ketua Pengolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah telah mengadakan lawatan kerja ke ke Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Putrajaya dan NGO Persatuan Insaf Murni Malaysia, Kabin Harapan, Kuala Lumpur.
Lawatan kerja ini diadakan bertujuan untuk menjalinkan hubungan antara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui ‘Ilaj Home Kuala Lumpur dengan agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan golongan al-riqab (komuniti rentan) khususnya Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA).
Dalam pertemuan tersebut, banyak perkongsian idea dan pengalaman serta saranan yang diterima berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya pengoperasian ‘Ilaj Home dapat berjalan dengan lancar mungkin. Pertemuan tersebut turut menyentuh aspek pengurusan klien, persediaan mental dan fizikal petugas ‘Ilaj Home dan aktiviti-aktiviti yang boleh diadakan supaya klien ‘Ilaj Home boleh kembali hidup seperti biasa dalam kalangan masyarakat.
YKN dan Persatuan Insaf Murni turut menyatakan kesediaan memberi kerjasama kepada JAWI dalam membantu menjayakan pengisian program dan menjadi rujukan bagi perkara-perkara melibatkan klien ‘Ilaj Home. Tidak dinafikan bahawa kerjasama antara JAWI dalam pengurusan ‘Ilaj Home dengan agensi yang berpengalaman adalah pemangkin yang kukuh dalam mencapai objektif penubuhan ‘Ilaj Home.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan