LATIHAN PSIKOSPIRITUAL DAN KHIDMAT NASIHAT KELAHIRAN TANPA NIKAH
27 SEPTEMBER 2023M | 11 RABIULAWAL 1445H (RABU) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah (BPD) telah melaksanakan Program Latihan Psikospiritual dan Khidmat Nasihat Isu Kelahiran Tanpa Nikah Kepada Petugas Khidmat Nasihat. Ia berlangsung di Hotel Grand Barakah Ampang, Selangor.
Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan mengenai kemahiran psikologi dan panduan khidmat nasihat khusus berkaitan isu-isu perkahwinan, prosedur pendaftaran dan pengesahan perkahwinan yang sering berlaku. Ia berkait dengan salah satu fungsi Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI bagi khidmat nasihat kelahiran tanpa nikah khususnya di Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur).
Seramai 25 orang peserta telah mengikuti program ini yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JAWI. Antara pengisian dalam latihan ini ialah topik “Kelahiran Tanpa Nikah Di Bawah Umur (Masalah & Solusi) yang disampaikan oleh YBrs. Puan Raja Norul Fazzilla binti Raja Halim dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seterusnya topik berkaitan “Prosedur Pendaftaran dan Pengesahan Perkahwinan“ oleh YBrs. Puan Nik Norliza binti Nik Kamaludin, daripada Bahagian Perkahwinan dan Pengurusan Keluarga JAWI. Manakala YBrs. Encik Suhaimi bin Ahmad Wakid dari Jabatan Agama Islam Selangor berkongsi Kemahiran Psikospiritual Sebagai Petugas.
Diharap latihan yang diadakan ini dapat meningkatkan kemahiran para petugas khususnya dalam mengendalikan khidmat nasihat kerohanian kepada pesakit-pesakit dan juga mangsa isu sosial yang berlaku di Bandaraya Kuala Lumpur dapat ditangani.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan