KURSUS TAHSIN AL-QURAN QARI/ QARIAH DAN HAFIZ/ HAFIZAH WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 1445H/ 2023M
10 OGOS 2023M | 23 MUHARAM 1445H (KHAMIS) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah telah menganjurkan Kursus Tahsin Al-Quran Qari/ Qariah dan Hafiz/ Hafizah Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/ 2023M pada 8 hingga 10 Ogos 2023 bertempat di Hotel Glory Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan
Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari dua (2) malam ini melibatkan seramai 41 orang peserta yang terdiri daripada 10 qari/qariah dan 31 orang peserta hafazan dari sekitar Wilayah Persekutuan. Para peserta terdiri daripada peserta yang akan menyertai Majlis Hafazan Dan Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan (MTHQWP) yang akan diadakan pada bulan Oktober 2023.
Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan mengasah kemahiran Qari/ Qariah dan Hafiz/ Hafizah dalam seni bacaan al-Quran berkaitan Tajwid, Tarannum, Fasohah dan Suara. Kursus ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori tilawah dan kategori hafazan yang dilaksanakan sebanyak 12 sesi bagi setiap kategori secara teori dan amali.
Ia dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang hafazan dan tilawah al-Quran iaitu Tuan Haji Hasim bin Harun, Tuan Haji Azhari Othman, Tuan Haji Mohd Anuar bin Ghazali, Ustaz Sazali bin Yaacob, Ustaz Muhammad Zaki bin Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Mujahid bin Salleh Sani.
Majlis perasmian penutup kursus dan telah disempurnakan oleh Encik Mohd Arif bin Sapee, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah, JAWI.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan