MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 1445H/2023M
26 JULAI 2023M | 8 MUHARAM 1445H (RABU) – “Perpaduan Teras Malaysia Madani” diangkat menjadi tema Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan pada hari ini. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran JAWI dengan kerjasama agensi dan Rakan Strategik JAWI telah diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan. Majlis Sambutan ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir memberi ucapan alu-aluan pada majlis tersebut ialah YBhg. Tan Sri Dr. Daud bin Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP), Sahibus Samahah Datuk Prof Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, dan YBrs Tuan Haji Mohamad Kori bin Jusoh, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, mewakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) dan ketua-ketua agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan.
Intipati utama dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ialah penekanan terhadap peranan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sebagai pusat yang menyatukan ummah dengan pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan. Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan juga perlu diangkat sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam untuk membentuk individu dan masyarakat yang menghayati ajaran agama.
Seramai lima (5) orang penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/ 2023M telah dinobatkan dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/ 2023M yang berlangsung hari ini. Pengumuman penganugerahan tokoh dan anugerah khas telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
JAWI merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan