KUNJUNGAN HORMAT JAWI KE JIM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
2 Mac 2023 | 11 Syaaban 1444H (Khamis) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Bilik Mesyuarat Gemilang, Jabatan Imigresen Malaysia, Kuala Lumpur.
Seramai 13 wakil delegasi JAWI telah menyertai kunjungan hormat ini diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI. Turut hadir, Puan Rabihah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK), BPPK JAWI merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Wilayah-wilayah Persekutuan, Puan Warda binti Misnon, Ketua Penolong Pengarah BPPK JAWI bersama-sama para pegawai serta kakitangan BPPK, Bahagian Pengurusan Dakwah dan JAWI Putrajaya.
Kehadiran delegasi JAWI sangat dialu-alukan dan disambut baik oleh YBrs. Tuan Syamsul Badrin bin Mohsin, Pengarah Kanan JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berserta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan JIM Kuala Lumpur. Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk berkongsi maklumat, bertukar-tukar pandangan serta menjalinkan kerjasama dua hala antara kedua-dua agensi.
Pelbagai isu dan permasalahan telah dibincang, diselaras serta disepakati solusi penyelesaiannya secara bersama. Antara isu yang dibangkitkan adalah berkenaan permohonan berkahwin antara warganegara dan bukan warganegara, dokumen-dokumen yang diperlukan oleh agensi pelaksana, jenis-jenis visa yang melayakkan pemohon membuat permohonan, tempoh sah laku visa, pihak-pihak yang diberi autoriti untuk memperaku dan menandatangani borang permohonan, perlanjutan visa pasangan bagi tujuan berkahwin, daftar masuk Islam dan menghadiri bicara di Mahkamah Syariah, pendaftaran pemohon tiada dokumen pengenalan diri seperti pemegang kad UNHCR dan sebagainya.
Sesi kunjungan hormat diakhiri dengan acara pertukaran cenderahati serta sesi bergambar. Semoga pertemuan ini memberi manfaat dan impak positif kepada kedua-dua belah pihak dan juga kepada masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan seluruhnya.
Disediakan oleh:
Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga (BPPK),
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan