PROGRAM KEFAHAMAN ISLAM ORANG KURANG UPAYA PENGLIHATAN
08 APRIL 2023M | 17 RAMADAN 1444H (SABTU) – JAWI melalui Bahagian Pengurusan Dakwah dengan kerjasama Persatuan Orang-orang Buta Islam Malaysia (PERTIS) dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) telah menganjurkan program Ihya' Ramadan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran pada hari ini bertempat di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Brickfields, Kuala Lumpur.
Objektif utama program ini adalah untuk memupuk rasa cinta kepada Al-Quran dan menghayati ibrah disebalik peristiwa turunnya al-Quran melalui majlis khatam al-Quran oleh para peserta. Seterusnya ia disusuli dengan forum yang bertajuk Bicara Al-Quran : Pembangunan OKU Merentas Zaman. Barisan ahli panel terdiri daripada Encik Mohammad Faizal bin Che Yusof merangkap YDP PERTIS dan Ustazah Nurul Hidayah BT Kamarudin, Pegawai Pusat Pungutan Zakat WP Kuala Lumpur dan Saudara Hafiz Halim selaku moderator.
Selain itu, para peserta kelas Al-Quran Braille turut disantuni dengan pemberian sumbangan yang telah disampaikan oleh Puan Suraiti bt Alias, Ketua Penolong Pengarah Dakwah JAWI. Program diteruskan lagi dengan Iftar, Solat Sunat Terawih secara berjemaah dan qiamulail.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan MAB yang telah menyediakan tempat dan fasiliti. Terima kasih tidak terhingga kepada Rakan Strategik JAWI, Syarikat QSR Brands atas komitmen memberikan sumbangan KFC sebagai juadah berbuka. Semoga penganjuran program ini dapat memberi manfaat dan nilai tambah kepada warga OKU dalam menghayati dan menerapkan nilai-nilai Islami dalam diri.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan