MAJLIS PERASMIAN KELAS PENGAJIAN MUALAF DI MASJID-MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN
11 NOVEMBER 2022M | 16 RABIULAKHIR 1444H (JUMAAT) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Cawangan Kebajikan Saudara Baru, Bahagian Pengurusan Dakwah telah mengadakan Majlis Perasmian Kelas Pengajian Mualaf di Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan bertempat di Masjid al-Imam al-Ghazali, Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur. Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Hajah Khatijah binti Abd Rahman, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah mewakili YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI.
Sehingga November 2022, sebanyak lima (5) buah masjid telah melaksanakan Kelas Pengajian Mualaf iaitu Masjid al-Imam al-Ghazali Bandar Menjalara, Masjid Amaniah Kepong, Masjid al-Muqarrabin, Masjid Usamah bin Zaid dan Masjid ar-Rahman. Manakala tiga (3) buah lagi masjid iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Salahuddin al-Ayyubi dan Masjid Imam as-Syafii Taman Maluri akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Objektif penubuhan Kelas Pengajian Mualaf di masjid-masjid adalah untuk menyebarluas fungsi masjid kepada masyarakat termasuk golongan mualaf yang mana fungsi ini juga terkandung dalam Pelan Pengimarahan Masjid. Selain itu, ini akan memudahkan golongan mualaf mendapatkan pengetahuan dan ilmu asas tentang agama Islam berdekatan dengan tempat tinggal sekaligus dapat mengurangkan kadar keciciran golongan mualaf dalam mengikuti kelas pengajian Islam. Manakala, bagi mualaf yang berkemampuan, mereka dapat menyalurkan bantuan dari sudut kewangan atau barangan keperluan harian kepada pihak masjid untuk diagihkan tanpa rasa ragu.
Majlis pada hari ini dimulakan dengan ceramah bertajuk “Istiqamah dalam Perjalanan Menuju Allah” yang disampaikan oleh Encik Mohd Abd. Nasir bin Abdullah, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Masjid JAWI, diikuti dengan Majlis Perasmian Kelas Pengajian Mualaf di Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. Pegawai Tadbir Agama Zon (PTAZ) bagi 8 masjid terlibat telah dijemput menerima bunting dan banner sebagai bahan hebahan bagi pelaksanaan kelas pengajian mualaf di masjid ini.
Semoga kelas ini kekal menjadi medan untuk memberi pendedahan awal tentang asas-asas ilmu Fardhu Ain kepada mualaf sebagai permulaan untuk jejak-jejak ilmu selepas ini.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan