ANGGOTA PERUBATAN HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ (HCTM) DISAJIKAN DENGAN ILMU PENGURUSAN IBADAH PESAKIT
27 SEPTEMBER 2022M | 30 SAFAR 1444H (SELASA) – Anggota perubatan HCTM telah menyertai Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit anjuran Unit Kebajikan Islam, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Masjid Al-Najihin Bandar Sri Permaisuri dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan. Kursus ini telah berlangsung di Auditorium ASSC HCTM. Tujuan utama penganjuran kursus ini ialah untuk memberi kefahaman dan kemahiran kepada anggota perubatan untuk mendidik para pesakit tentang cara serta kaedah paling sesuai dalam melaksanakan ibadah bersuci dan solat ketika sakit. Penceramah jemputan, Ustaz Mohamad Faiz bin Sapiee, Naqib Masjid Al-Najihin Bandar Sri Permaisuri telah diundang bagi menyampaikan ceramah slot 1 yang bertajuk Adab-Adab Ziarah Pesakit dan Panduan Amalan Ketika Sakit. Manakala, ceramah slot ke-2 telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Shazni bin Abdullah dari Pusat Islam, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan tajuk “Panduan Bersuci, Berwudhuk, Tayammum dan Solat Bagi Pesakit”.
Majlis perasmian penutup kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Khatijah binti Abd Rahman, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI mewakili YBhg. Datuk Pengarah JAWI. Turut hadir, wakil dari HCTM YBrs. Prof. Dr. Rohaizak Muhammad, Ketua Pusat Islam Kampus Kuala Lumpur mewakili Pengarah HCTM.
Semoga kerjasama di antara JAWI, masjid/ surau dan hospital dapat diperkukuhkan dimasa akan datang bagi memastikan masyarakat sentiasa didedahkan dengan ilmu yang up to date.
Disediakan oleh: Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI |
Jumlah paparan: 1402