KURSUS TAHSIN AL-QURAN QARI/QARIAH DAN HAFIZ/HAFIZAH WILAYAH PERSEKUTUAN
15 SEPTEMBER 2022M | 18 SAFAR 1444H (KHAMIS) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah telah menganjurkan Kursus Tahsin al-Quran Qari/ Qariah dan Hafiz/ Hafizah Wilayah Persekutuan pada 13 hingga 15 September 2022 bertempat di Kompleks Darul Hidayah, Kuala Lumpur. Kursus 3 hari tersebut melibatkan seramai 12 orang Qari/ Qariah dan 35 orang Hafiz/ Hafizah yang *terpilih dan layak* ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan yang akan berlangsung pada November 2022. Program ini bertujuan untuk meningkat dan menggilap kemahiran para peserta sebelum memasuki pertandingan. Peserta didedahkan dengan teknik dan kemahiran bacaan al-Quran merangkumi hafaz, lancar, tarannum, fasohah, suara, dan lagu. Kursus ini diadakan sebanyak 12 sesi dari segi teori dan amali. Ia dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang dijemput khas mewakili bidang-bidang kepakaran masing-masing. Bagi Kursus Tahsin al-Quran Qari dan Qariah antara penceramah terlibat adalah YBrs. Dr. Anuar bin Hasin, Al-Fadhil Tuan Abdul Baari bin Abdullah dan Al-Fadhil Tuan Haji Zaher Rudin bin Mokhtar. Manakala bagi Kursus Tahsin al-Quran Hafizan, penceramah terdiri daripada Ustaz Ahmad Mujahid bin Salleh Sani, Ustaz Muhammad Zaki bin Ab Rahman, Ustaz Abdul Khair bin Jalil dan Al- Fadhil Tuan Haji Abdul Karim bin Zakaria. Majlis perasmian penutup kursus telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Zulkifli bin Hassan, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah. Kursus berakhir pada jam 2.30 petang. Disediakan oleh: Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI |