KELAS BACAAN DAN PEMAHAMAN AKTA 303 SIRI 2/2022
16 Ogos 2022 | 18 Muharam 1444H (Selasa) – Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), JAWI telah menganjurkan Kelas Bacaan dan Pemahaman Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] Siri 2/2022 bertempat di Dewan Muslimin, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Program ini telah disertai oleh sekitar 80 orang peserta yang terdiri daripada Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, wakil jabatan dan bahagian berkaitan serta pegawai dan kakitangan BPPK selaku urus setia. Pendaftar dan Penolong Pendaftar di JAWI Cawangan Labuan juga berkesempatan mengikuti program ini secara dalam talian melalui platform Google Meet.
Dalam kelas pada kali ini, penceramah jemputan iaitu YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menyentuh peruntukan Seksyen 58, Akta 303 yang telah dipotong (dimansuhkan) dan diganti dengan peruntukan Seksyen 122, Akta yang sama iaitu tentang kuasa Mahkamah memerintahkan pembahagian harta sepencarian.
YAA Dato’ Setia Dr. juga turut menyentuh beberapa seksyen serta akta lain yang berkaitan di samping menjawab persoalan yang timbul dalam kalangan para peserta berkaitan isu-isu perkahwinan, perceraian dan rujuk yang sering menjadi rujukan oleh masyarakat umum. Di akhir sesi, YAA Dato’ Setia Dr. telah menjelas dan menghuraikan kepada para peserta tentang Arahan Amalan No. 8 Tahun 2020 iaitu berkenaan permohonan bagi perempuan untuk berkahwin yang mana perkahwinan ibu bapanya tidak didaftarkan di Malaysia.
Secara keseluruhannya, program ini sangat memberi manfaat kepada para peserta kerana setiap peruntukan telah dikupas secara terperinci dengan penjelasan yang mudah difahami berdasarkan hujah-hujah Syarak dan juga undang-undang yang berkuat kuasa. Program ini wajar diteruskan lagi dari semasa ke semasa demi meningkatkan lagi tahap kefahaman para peserta tentang Akta 303 yang merupakan antara asas utama dalam urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk orang Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan.
Disediakan oleh:
Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga (BPPK),
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan