200 PEK SUMBANGAN SEMPENA PROGRAM PEDULI OUTREACH CHOW KIT KL
13 Ogos 2022M | 15 Muharam 1444H (Sabtu) – Bahagian Pengurusan Dakwah (BPD) bersama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan-rakan strategik daripada agensi dan NGO, iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim), Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM), Pertubuhan Kebajikan Al-Riqab Kuala Lumpur dan Pertubuhan Dai Kuala Lumpur telah mengadakan Program Dakwah Bil Hal “Peduli Outreach” di Chow Kit Kuala Lumpur bermula jam 10.30 hingga 12.00 malam bertempat di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur. Semua rakan strategik yang terlibat telah berkumpul di Pusat Pembelajaran Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seawal jam 6.00 petang bagi aktiviti pembungkusan barang sumbangan. Program ini telah disempurnakan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir pada program ini ialah YBhg. Dato’ Dr Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (D) JAKIM, YBhg. Datuk Hj. Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI dan Tuan Mohd Nizam bin Yahya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP serta wakil-wakil agensi dan NGO. Pelaksanaan program kolaborasi strategik di lapangan pula diketuai oleh Pertubuhan Kebajikan A-Riqab Kuala Lumpur. Sebanyak 200 pek sumbangan telah berjaya disampaikan kepada Rakan Jalanan di kawasan tersebut. YB Menteri turut mengunjungi dan meninjau keadaan bilik inapan Rakan Jalanan di kawasan sekitar di samping menyampaikan sumbangan tersebut. Hasrat YB Menteri bagi pelaksanaan aktiviti khidmat sosial begini dengan kolaborasi semua agensi serta NGO akan diteruskan bagi meringankan tanggungan mereka di samping cuba mencari jalan keluar terhadap permasalahan yang dialami oleh golongan ini. Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI |