ANGGOTA PERUBATAN HOSPITAL KUALA LUMPUR (HKL) DISAJIKAN DENGAN ILMU PENGURUSAN IBADAH PESAKIT
8 JUN 2022M | 8 ZULKAEDAH 1443H (RABU) - Anggota perubatan HKL telah menyertai Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit anjuran Unit Kebajikan Islam, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI dengan kerjasama Hospital Kuala Lumpur dan Surau Balai Islam Pekeliling dari Zon 4. Kursus ini telah berlangsung di Auditorium Dermatologi HKL. Tujuan utama penganjuran kursus ini ialah untuk memberi kefahaman dan kemahiran kepada anggota perubatan untuk mendidik para pesakit tentang cara serta kaedah paling sesuai dalam melaksanakan ibadah bersuci dan solat ketika sakit. Penceramah jemputan, Ustaz Mohd Shazni bin Abdullah dari Pusat Islam, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah diundang bagi menyampaikan ceramah bertajuk “Pengurusan dan Kaedah Bersuci bagi Pesakit”. Majlis perasmian penutup kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Siti Razmah binti Idris, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI mewakili YBhg. Datuk Pengarah JAWI. Turut hadir, wakil dari HKL YBrs. Dr. Fairoz Azlim bin Muslim, Timbalan Pengarah (Pembedahan) merangkap Pengerusi Hospital Mesra Ibadah mewakili YBhg. Datin Paduka Pengarah HKL. Semoga kerjasama di antara JAWI, masjid/ surau dan hospital dapat diperkukuhkan dimasa akan datang bagi memastikan masyarakat sentiasa didedahkan dengan ilmu yang up to date. Disediakan Oleh: Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI |