Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Program Iftar Perdana Dapur It’am Ramadan 1443H petang tadi bertempat di Dataran Helipad, Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur. Program disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP. Turut hadir Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI.
Program tersebut diadakan bertujuan untuk meraikan golongan asnaf dan memerlukan dari sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, PPR Sri Sarawak, PPR Sri Perak, PPR Seri Laksamana serta Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan di sekitar Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Seramai 200 orang asnaf yang terlibat menerima sumbangan berupa pek juadah berbuka puasa, barangan keperluan asas makanan JAWI Food Bank (JFB) seperti beras, minyak masak dan gula serta wang tunai dengan keseluruhan kos berjumlah RM 32,000.00.
Sepanjang bulan Ramadan ini, JAWI dan MAIWP mengedarkan 123,600 pek juadah berbuka puasa secara percuma melalui program Dapur It’am Ramadan 1443H. Inisiatif yang dimulakan semenjak 2 tahun lalu berkonsepkan agihan makanan bermasak kepada asnaf, B40 yang tinggal di PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA) serta golongan yang memerlukan setiap hari sepanjang bulan Ramadan. Pelbagai menu masakan disediakan secara bergotong-royong melalui 70 buah masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan peruntukan berjumlah RM 1,236,000.00.