TOWN HALL BERSAMA MUALAF WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 2022
25 FEBRUARI 2022M | 23 REJAB 1443H (ISNIN) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) julung kalinya telah menganjurkan Program Town Hall Bersama Mualaf Wilayah Persekutuan bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Inisiatif ini bertujuan mendekati dan memahami isu serta permasalahan yang sering dihadapi oleh golongan mualaf. Ianya turut menjadi platform perkongsian maklumat seperti prosedur pengislaman, kelas pengajian mualaf, serta isu-isu kebajikan dan bantuan untuk mualaf. Seramai 230 orang peserta dalam kalangan mualaf berdaftar telah dipilih menyertai program tersebut. Para peserta turut menerima sumbangan zakat tunai bernilai RM 169,000.00 yang disumbangkan oleh pembayar zakat MAIWP serta sumbangan pek barangan makanan daripada QSR Brands dan Nestle. Sesi Townhall telah dikendalikan oleh Profesor Madya Dato' Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Wilayah Persekutuan. Manakala majlis penutupan telah disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP. Turut hadir Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Timbalan Pengarah Operasi JAWI mewakili Pengarah JAWI dan Haji Hayazi bin Darus, Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal, QSR Brands (M) Holdings Bhd. Dalam program ini juga, JAWI telah menerima sumbangan wang wakalah sebanyak RM100, 000.00 (Ringgit Malaysia :Seratus ribu sahaja) daripada QSR Brands (M) Holdings Bhd untuk program - program mualaf. Disediakan Oleh: Bahagian Pengurusan Dakwah
|