PENYAMPAIAN HADIAH PENERIMA ANUGERAH TOKOH MA'AL HIJRAH WILAYAH PERSEKUTUAN 1443H
13 SEPTEMBER 2021M | 06 SAFAR 1443H (ISNIN) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menganjurkan Acara Penyampaian Hadiah kepada Penerima Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M di Dewan Syura Perdana, Kompleks Pusat Islam.Seramai lima (5) individu telah dipilih bagi Anugerah Khas di samping Anugerah Tokoh Utama sempena Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan pada kali ini. YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu iaitu, YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohd Al Bakri telah membuat pengumuman penerima Tokoh Utama dan Tokoh Khas Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan melalui rancangan Assalamualaikum yang disiarkan secara langsung melalui TV AlHijrah pada 12 Ogos 2021 (Khamis). Anugerah Tokoh Utama Ma’al Hijrah 1443H telah dianugerahkan kepada Mejar Jeneral (Dato’ Haji Kamaruddin bin Haji Mamat merupakan mantan Ketua Pengarah KOR KAGAT. Lima (5) penerima Anugerah Khas Ma’al Hijrah ialah Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn. Bhd.; Dato’ Dr Hj Ramly bin Mokni ( Kategori Tokoh Korporat ), Pengarah Jabatan Kesihatan WP Labuan; Dr Ismuni bin Bohari ( Kategori Tokoh Frontliners I ) , Penggali Kubur Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah; Encik Roslee bin Ali ( Kategori Tokoh Frontliners II), Pembantu Mubaligh di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Puan Nur Maisarah Leong Yoke Keen (Kategori Tokoh Mualaf ) dan selebriti TV Media Prima Berhad; Encik Ahmad Fedtri bin Yahya(Kategori Pendakwah Kreatif). Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI diiringi YBrs. Tn Hj. Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Timbalan Pengarah Operasi, JAWI. Penerima Tokoh Utama Ma’al Hijrah 1443H menerima wang tunai RM8,000, trofi dan sijil manakala penerima Anugerah Khas masing-masing menerima wang tunai RM4,000 berserta trofi dan sijil penghargaan. Acara diadakan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Disediakan Oleh: Bahagian Pengurusan Dakwah
|