KUNJUNGAN HORMAT PEJABAT PENDAFTARAN HUBUNGAN KELUARGA WARGA KOREA DI LUAR NEGARA DAN KEDUTAAN BESAR REPUBLIK KOREA KE JAWI
16 November 2022 | 21 Rabiulakhir 1444H (Rabu) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) telah menerima kunjungan hormat daripada Pejabat Pendaftaran Hubungan Keluarga Warga Korea di Luar Negara dan Kedutaan Besar Republik Korea pada 16 November 2022 (Rabu) bertempat di Dewan Syura Perdana, Aras 11, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Delegasi seramai enam orang ini diketuai oleh Mr. SO Soo-joon, Timbalan Pengarah, Pejabat Pendaftaran Hubungan Keluarga Warga Korea di Luar Negara. Turut hadir Ms. Chae Seung Hee, Setiausaha Pertama dan Majlis bagi Kedutaan Besar Republik Korea.
Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk memperoleh informasi yang lengkap mengenai fungsi dan peranan JAWI serta perkhidmatan yang disediakan. Para delegasi juga berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan urusan perkahwinan, perceraian dan ruju’ (NCR) khususnya berkaitan prosedur, peraturan am serta undang-undang berkaitan perkahwinan orang Islam di Malaysia. Ia sejajar dengan peningkatan jumlah warganegara Korea yang memeluk agama Islam dan berkahwin dengan warganegara Malaysia. Inisiatif ini diambil oleh pihak delegasi bagi menjaga hak dan kebajikan kedua-dua warganegara dan perkahwinan atau perceraian mereka didaftarkan dengan sewajarnya. Di samping itu, kehadiran delegasi juga bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim, meningkatkan persefahaman dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Ketibaan delegasi disambut baik oleh YBrs. Puan Rabihah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, BPPK bersama-sama pegawai BPPK serta wakil daripada Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAWI. Beliau sangat berbesar hati menerima kehadiran delegasi yang sudi memilih JAWI sebagai destinasi kunjungan dan menjadikan JAWI sebagai penanda aras dalam urusan NCR orang Islam di negara mereka.
Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati serta sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan. Setelah itu, para delegasi dibawa melawat kaunter perkhidmatan di BPPK yang mengendalikan urusan NCR kepada masyarakat Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan.
Disediakan oleh:
Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga (BPPK),
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan