SEMINAR IBU HAMIL SIRI 2 TAHUN 2022
18 Oktober 2022 | 21 Rabiulawal 1444H (Selasa) – Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), JAWI dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kuala Lumpur telah mengadakan Seminar Ibu Hamil Siri 2 bertempat di Dewan Seminar Dr. Mimi, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.
Objektif seminar ini diadakan adalah untuk berkongsi ilmu khususnya berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran dari sudut perubatan dan perspektif islam. Dengan sedikit perkongsian ini akan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan serta dapat mempersiapkan diri wanita untuk menghadapi proses kehamilan dan kelahiran dengan lebih baik.
Seminar ini mengandungi tiga slot iaitu slot pertama bertajuk “40 Hari Yang Indah” disampaikan oleh YBrs. Dr. Nur Atikah binti Bakhtiar, Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur diikuti slot kedua bertajuk “Penyusuan Susu Ibu” yang disampaikan oleh YBrs. Puan Aiman Dalila binti Mahmood, Pegawai Sains Pemakanan, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. Slot akhir seminar pada hari ini telah disampaikan oleh YBrs. Ustazah Nazirah binti Abu Bakar, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan tajuk “Bicara Kehamilan dan Kelahiran Menurut Perspektif Islam”.
Majlis Perasmian Penutup Seminar Ibu Hamil Siri 2 Tahun 2022 telah dirasmikan oleh YBrs. Ustazah Rabihah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, BPPK JAWI. Turut hadir bersama ialah YBrs. Dr. Maizura binti Harun, Pegawai Kesihatan Daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur dan YBrs. Dr. Azira binti Baharudin, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.
Seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada ibu hamil telah menyertai dan menjayakan seminar ini. Semoga pelaksanaan program ini dapat memberi manfaat kepada peserta terutama dalam membuat persediaan menjadi ibu dan ayah yang bakal melahirkan zuriat yang soleh dan solehah seterusnya membentuk generasi cemerlang pada masa akan datang.
Disediakan oleh:
Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga (BPPK),
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan